Tuesday, November 25, 2008

Lunch Invitation - Majlis Santapan Tengah Hari

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Tuan-tuan & Puan-puan,

Bagi pihak Istana Negara, Kedutaan Besar Malaysia dengan hormatnya ingin menjemput semua warganegara Malaysia dan pasangan yang berada di Kuwait untuk Majlis Santapan Tengah Hari bersama Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIII dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Nur Zahirah, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. Butir-butir Majlis adalah seperti berikut:

Tarikh : 1 Disember 2008
Hari : Isnin
Tempat : Diamond Ballroom Sheraton Hotel
Pakaian Lelaki: Lounge Suit
Pakaian Perempuan : Baju Kurung/ Kebaya Labuh


Sebagai persedian kepada ketibaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, tuan-tuan dan puan-puan adalah dipohon untuk tiba di Diamond Ballroom, 45 minit sebelum ketibaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong. Untuk kemudahan tuan-tuan dan puan-puan, pihak Kedutan sedang mengusahakan tempat di Sheraton Hotel bagi menempatkan anak-anak. Maklumat lanjut mengenai perkara ini akan diberitahu kelak. Aturcara majlis adalah seperti berikut:-

Aturcara Majlis Tentatif
11.15 am : Ketibaan Rakyat Malaysia
12.00 pm : Ketibaan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong & Raja Permaisuri Agong
12.15 pm : Program makan tengah hari
1.15 pm : Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berangkat meninggalkan majlis
1.20 pm : Majlis bersurai


Tuan-tuan dan puan-puan juga dipohon untuk memaklumkan kehadiran tuan-tuan dan puan-puan selewat-lewatnya pada hari Jumaat, 28 November 2008 kepada YM Raja Nor Zaharah Raja Idris Shah (67046693) atau kepada Encik Zufli Che Seman (99434012). Kerjamasa tuan-tuan dan puan-puan adalah amat dihargai. Semoga kehadiran tuan-tuan dan puan-puan akan memeriahkan dan memberkati lagi majlis ini. Sekian, terima kasih.

Salam mesra,
FAIRUZ ADLI MOHD ROZALI
Setiausaha Kedua Kedutaan Besar Malaysia Kuwait

3 comments:

Anonymous said...

Wahai Tuan Bendahara Shukri,
Kami orang-orang Kaya di sekitar daerah EQUATE sehingga ke sempadan MALAKOFF dengan rasa dukacitanya ingin memaklumkan kepada Tuan Bendahara bahawa kami tidak dapat le bersama Tuan Bendahara Shukri dan para mamak menteri di daerah lain untuk bersama-sama meraikan kehadiran Raja dan Permaisuri Agong ini adalah di kala tanggal 1 Disember ne hampir sepurnama lah kiranya dari tarikh hari ni kami masih lagi sedang bergelut dengan urusan urusan rasmi di daerah masing-masing.

Sayugia, di harap Tuan Bendahara maklumkan sahaja ke Laksamana-Laksamana di Kedutaan Malaysia bahawa sememangnya kami amat berharap dapat menemani Laksamana semua bersantap bersama pihak Raja Sekeluarga lalu menikmati hidangan diraja sambil menikmati tarian dayang dayang istana mengikut rantak dan lenggok lagu Cindai nyanyian Siti Nurhaliza tapi oleh kerana urusan rasmi di daerah masing-masing terpaksalah kami membatalkan hasrat kami semua. Diharap pihak diraja tidak murka akan kami semua. Al maklumlah kami ne hanya rakyat biasa….dan tolong sampaikan salam kami buat Raja Sekeluarga….

Daulat Tuanku!

Smiling Sukri said...

Dengarkan ya tuan hamba...

Burung merpati terbang sejoli,
Terbang berdua tanpa jemu,
Tuanku singgah mungkin sekali,
Bukankah rugi tidak bertemu?

Kusangka panas rupanya hujan,
Hujan gerimis bayu pun berlalu,
Urusan diri bukan alasan,
Asal hati ingin bertamu...

Anonymous said...

Pantun aku....

Air dalam perigi,
Aku sekeluarga tak pergi!

Salam...